Pages

Friday, January 29, 2010

~Layakkah Aku Menjadi Pemimpin??~

Assalamualaikum WBT dan salam perpaduan...


Layakkah aku menjadi pemimpin? Persoalan yang sering dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin yang beragama Islam kerana terlalu memikirkan kesinambungan daripada apa yang sering didengarnya selama ini. "Sebelah kaki seorang pemimpin yang beragama Islam sudah berada di dalam neraka". Lantaran daripada itu, ramai pemimpin-pemimpin yang beragama Islam cuba untuk melepaskan tanggungjawab ini kerana merasakan dirinya tidak layak untuk memimpin. Persoalannya, siapakah yang akan memimpin negara ini sekiranya semua penganut yang beragama Islam memikirkan perkara yang sedemikian? Adakah kita sanggup melihat negara ini yang telah diiktiraf sebagai nagara Islam dipimpin oleh orang-orang yang tidak faham akan Islam itu sendiri? Anda sendiri yang akan merungkai persoalan ini kerana setiap daripada anda adalah pemimpin.


Untuk merungkai persoalan ini, sukalah saya untuk membawa beberapa contoh yang telah kita sedia maklum agar persoalan yang seumpama ini tidak lagi timbul dalam kalangan masyarakat kita kini. Pernah diceritakan suatu ketika dahulu, bahawa pernah Rasulullah SAW hendak diangkat menjadi seorang nabi dan rasul, baginda merasa tidak mampu, kerana diceritakan bahawa baginda seorang yang buta huruf, tidak pernah mempelajari apa-apa ilmu melainkan ilmu-ilmu asas seperti ilmu mengembala kambing dan sebagainya. Hal ini diceritakan dalam kisah baginda mula-mula mendapat wahyu daripada Allah SWT, dimana malaikat Jibril meminta supaya baginda membaca, tetapi baginda menolak kerana mengatakan bahawa baginda tidak tahu membaca. Tetapi akhirnya baginda menerimanya sebagai satu amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT keatas diri baginda.

Pernah juga diceritakan ketika zaman selepas kewafatan nabi SAW, tidak ada yang berani memimpin negara Islam kerana bimbang tidak mampu menjalankan kewajipan dengan sebaiknya, hal ini dikisahkan dalam peristiwa sahabat baginda, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Jika dilihat ketika mula-mula pembentukan zaman khalifah Islamiyyah, berlakunya petelingkahan antara penyokong-penyokong Abu Bakar dan juga penyokong-penyokong Umar yang masing-masing mahukan pemimpin yang mereka sokong itu menjadi pemimpin kepada negara Islam pada ketika itu. Akhirnya, mereka bersepakat agar diadakan undian (atau lebih kita kenali sebagai pilihanraya) bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak berdasarkan kepada sokongan daripada suara umum. Akhirnya kemenangan berpihak kepada Abu Bakar yang terus mengangkat beliau menjadi Khalifah Islam yang pertama mentadbir bumi Islam selepas kewafatan baginda SAW.


Berdasarkan kisah-kisah tersebut, dapat kita simpulkan bahawa tugas sebagai pemimpin jatuh ke bahu setiap manusia kerana setiap manusa itu dilahirkan untuk dipimpin dan memimpin, bukannya sesetengah tetapi semua. Walaupun hanya sesetengah yang akan memimpin di peringkat atasan, tetapi kita semua adalah pemimpin di peringkat bawahan, bukan bermakna kita lemah, tetapi bergantung kepada kemampuan kita sendiri kerana Allah itu maha mengetahui akan kemampuan hamba-hambaNya. 

Walaupun kita pernah mendengar satu kisah dimana amanah itu suatu yang berat, apabila dijatuhkan keatas bukit bukau, nescaya akan hancur bukit itu kerana tidak mampu menanggung beban yang terlalu berat, namun percayalah kita bahawa bukan semua pemimpin tidak mampu menanggung bebanan amanah, tetapi yakinlah akan pertolongan yang Allah akan berikan kepada kita.


Akhirnya, percayalah akan janji-janji Allah, jika kita membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kita, tidak kira dalam apa jua keadaan, yakinlah akan janji-janji Allah itu. Hanya daripada Allah kita dilahirkan dan kepada Allah jua kita akan dikembalikan. Ingatlah bahawa Allah besama-sama kita dalam apa jua keadaan, dan bantuan Allah itu akan diberikan dalam pelbagai bentuk, termasuklah nasihat daripada sahabat-sahabat kita sendiri.


Wallahualam...

No comments:

Post a Comment